Thursday, January 22, 2009

sekitar pertabalan obama

Di PAKISTAN, seorang pemimpin kanan parti Jamaat-i-Islami, Khurshid Ahmed mengucapkan selamat berjaya kepada Obama tetapi agak hampa presiden baru itu masih sunyi sepi terhadap pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.
"Saya hanya mampu berdoa. Saya memegang harapan (terhadap Obama) tetapi turut bimbang," katanya.

Di AFGHANISTAN, penganalisis dari Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar Haroun Mir berkata ucapan Obama memberi isyarat kuat bahawa beliau mahu memperbaiki hubungan dengan dunia Islam. "Sudah wujud keyakinan terhadap kepimpinan Obama di dunia Islam," katanya.

Jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi berkata kumpulannya yang digulingkan tentera Amerika pada 2001 tidak mempunyai masalah dengan Obama jika beliau mengundurkan tentera negaranya dari bumi Afghanistan. "Beliau mesti mengambil iktibar daripada pengalaman Bush dan tentera Soviet sebelum ini," katanya dari Kabul.

Di GAZA, majlis mengangkat sumpah bersejarah Barack Obama tidak membawa sebarang makna. "Obama tidak akan menghidupkan semula suami saya," kata Leila Khalil yang kehilangan suami akibat dibunuh tentera Israel dalam serangan mereka ke atas wilayah Palestin itu. Di seluruh wilayah itu, penduduk tidak menaruh harapan tinggi Obama akan menghilangkan penderitaan mereka selepas tiga minggu dizalimi tentera rejim Zionis.

"Tiada Presiden Amerika yang akan membayar ganti rugi kepada apa yang kami hilang dari perang, tidak akan menghidupkan mereka yang syahid atau menyembuhkan luka atau membina semula rumah," kata Samih Zouhdi, 53. Bagi Umm Mohammad, Obama tidak membawa sebarang harapan kepada anak-anaknya yang masih trauma. "Bush atau Obama tidak akan membuat kami lupa kepada ketakutan dan ketiadaan rumah seperti yang kami harungi ketika itu," katanya. Sekurang-kurangnya 1,300 penduduk Palestin, termasuk 410 kanak-kanak, terkorban dalam serangan udara, laut dan darat tentera Yahudi ke atas Gaza. - AFP/Agensi

-adakah obama akan membawa perubahan kepada dunia ? atau sekadar memberi harapan?

0 yang juga Bersungguh2: